♥Assalammualaikum ♥My Name is Nurul Fatehah Bt. Hasdriyzam ♥Just want to share with you about my life.
|✿ selamat datang ✿|

Khamis, 20 Oktober 2016

Entri Isu Semasa : Penganjuran Bulan Bahasa 2016

Penganjuran Bulan Bahasa 2016.
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang digunakan di dalam pertuturan harian dan pentadbiran negara. Bagi memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Melayu, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah. Justeru, bulan Oktober diiktiraf sebagai bulan bahasa kebangsaan ikutan daripada berita yang diwara-warakan di dalam akhbar.

Pada 20 Oktober, satu pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2016 bertempat di Putrajaya. Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata,  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh mengambil langkah untuk mendekatkan diri dengan mereka untuk menjalin kerjasama dalam penganjuran program sesuai dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan itu dizahirkan. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini ialah 1 Bahasa, 1 Jiwa , 1 Bangsa. 
 Seperti biasa, DBP merupakan urusetia dalam menguruskan pelbagai program di peringkat negeri, daerah dan sekolah, Malah, penganjurannya juga ada membabitkan syarikat swasta, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk tempoh dua bulan. Objektif penganjuran bulan bahasa ini adalah memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Semangatnya ialah melihat bahasa Melayu digunakan dengan betul dan meluas sebagai wadah melalui pelbagai media dan pelantar.


Menurut DBP, sudah semestinya pelbagai aktiviti kebahasaan dirancang untuk memeriahkan lagi sambutannya. Program ini diadakan, antaranya, untuk mempromosikan produk bahasa, sastera, penerbitan dan budaya Melayu di samping memantapkan jaringan kerjasama antara DBP dengan pelbagai pihak.


Penganjuran ini turut melibatkan badan korporat, syarikat swasta yang lain dan individu dikenali sekaligus boleh membantu dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan. Oleh sebab segolongan rakyat di negara kita tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita hendaklah mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memupuk semula penggunaan bahsa melayu yang semakin pudar ini.

Antara langkah yang boleh diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu ialah, menghayati, memahami, dan peka terhadap penggunaan bahasa Melayu harus diperjuangkan sebagai bahasa yang moden selaras dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia satu negara yang maju. Justeru, Wawasan 2020 akan terlunas dan tahap peradaban yang tinggi juga dapat digapai.

Kesimpulannya, untuk menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan 2016 bukan terletak pada kerajaan sahaja, malah marilah kita bersama berusaha menggembleng dan memperhebatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul terutamanya di tempat-tempat awam. Ini adalah penting kerana masyarakat umum mudah terpengarauh dengan cara dan gaya bahasa yang digunakan di tempat awam.




Jumaat, 14 Oktober 2016

Entri Isu Semasa : Hari Sukan Negara

Hari Sukan Negara

Pada hari Sabtu yang lalu, tanggal 8 Oktober 2016 telah berlangsungnya Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan bertempat di Presint 2, Putrajaya. Bukan sahaja di Putrajaya, malah di seluruh Malaysia sama ada di Institut Pengajian Tinggi mahupun di kampung-kampung. Dalam mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebuah 'Negara Bersukan', Hari Sukan Negara merupakan suatu inisiatif yang baik oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Terdapat beberapa objektif  kerajaan mengadakan Hari Sukan Negara. Antaranya, pertama ialah ingin menerapkan budaya sukan di kalangan. Hal ini kerana ingin menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat melalui bersukan dan bersenam. Kedua, ingin memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat. Melalui Hari Sukan Negara, dapat dilihat kesepaduan kaum yang bersama-sama melakukan aktiviti bersukan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Ketiga, pembangunan ekonomi negara dapat dijana melalui pembangunan industri sukan. Contohnya, penubuhan kelas-kelas zumba atau pusat-pusat gimnasium yang berbayar. Keempat, dapat meningkatkan pengetahuan sukan di kalangan rakyat. Rakyat dapat mengenal pelbagai sukan yang belum mereka ketahui sekaligus memupuk minat terhadap bidang sukan yang baru yang diceburi. Objektif terakhir ialah dapat mengiktiraf rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sukan di peringkat akar umbi.

Berbalik kepada sambutan Hari Sukan Negara yang dilaksanakan baru-baru ini, pelbagai aktiviti menarik yang diadakan. Antara permulaan program ialah perasmian Hari Sukan Negara 2016 oleh Perdana Menteri. Selain itu, demonstari senaman tempur oleh anggota tentera, senamrobik, larian, berbasikal dan pelbagai lagi.

Menurut akhbar Utusan Online yang disiarkan pada 9 Oktober 2016, jumlah peserta program Hari Sukan Negara telah melebihi tujuh juta orang iaitu melepasi sasaran awal Kementerian Belia dan Sukan sebanyak enam juta. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin sangat berpuas hati dengan penganjuran kali kedua program Hari Sukan Negara ini.

Secara keseluruhannya, penglibatan rakyat Malaysia terhadap program ini dapat memberi impak dan kesedaran yang besar dalam menjadikan Malaysia negara yang bersukan. Jadi, Hari Sukan Negara wajar disambut setiap tahun tetapi amalan bersukan haruslah dilakukan setiap hari.



Berikut merupakan gambar-gambar yang diambil pada Hari Sukan Negara 2016.









Sumber: Utusan Online ,Berita Harian , Hari Sukan Negara



Rabu, 12 Oktober 2016

Entri Bebas: Menabung Amalan Mulia : Kepentingan Menabung.


Menabung Amalan Mulia : Kepentingan Menabung.

Pada zaman serba canggih dan moden ini, wang merupakan satu instrumen yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Dalam pada masa yang sama, Ringgit Malaysia semakin rendah nilainya ekoran daripada ekonomi yang semakin gawat. Inflasi, kenaikan harga barangan yang mendadak menyebabkan rakyat semakin jimat berbelanja dalam kehidupan seharian. Dalam konteks ini, berjimat cermat atau penekanan terhadap amalan menabung adalah sangat baik jika diterapkan untuk keperluan masa hadapan. Ibu Bapa yang mempunyai anak hendaklah menerapkan amalan ini daripada sejak kecil umpama melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Justeru, terdapat beberapa kepentingan menabung antaranya ialah untuk persediaan masa kecemasan dan mengelakkan daripada berhutang, 

Setiap daripada kita akan mengalami kecemasan atau kesukaran yang tidak diduga. Sebagai contoh, berlakunya kemalangan atau sakit yang memerlukan perbelanjaan perubatan yang besar kosnya. Kita hendaklah membuat persediaan yang cukup daripada segi kewangan. Seperti kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan". Jadi, wang daripada tabungan tersebut dapat sedikit sebanyak membantu kita meghadapi krisis kewangan pada masa kecemasan.

Selain itu, mengelak daripada berhutang dengan bank mahupun individu lain merupakan salah satu kepentingan menabung. Jika kita menabung untuk mendapatkan sesuatu yang diingini, sudah pasti kita mampu memiliki tanpa berhutang. Walaupun mengambil masa yang agak lama tetapi ianya akan membuahkan hasil yang baik atau banyak seperti pepatah ada mengatakan sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Oleh itu, kita perlu ingat bahawa dengan menabung hasilnya akan kelihatan pada masa akan datang, bukan sekarang.

Sebagai kesimpulan, dengan menabung seseorang individu dapat membuat persediaan awal kewangan bagi dirinya atau keluarganya. Hidup seseorang itu lebih terjamin dan dengan adanya wang simpanan. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa sikap berjimat cermat dapat dipupuk dalam masyarakat di negara kita dengan adanya amalan menabung.